top of page
Writer's picturepsychology@iium

Memahami Lewah Fikir



Pernahkah anda berasa terlalu banyak berfikir? Adakah anda kerap terganggu dengan fikiran-fikiran yang tidak dapat anda singkirkan?


Barangkali ada antara kita yang pernah bertanya hal ini pada diri sendiri. Namun, lebih membimbangkan jika seseorang itu mempunyai ciri-ciri tersebut tetapi mengabaikannya kerana menganggap orang lain juga pernah menghadapi situasi ini.


Maka, berterusanlah mereka dalam kitaran fikiran yang kurang sihat ini tanpa niat untuk mengenal pasti dengan lebih lanjut, apatah lagi mencari jalan untuk mengatasinya.


Memahami lewah fikir

Lewah fikir dalam makna merujuk kepada kecenderungan untuk berfikir secara berlebihan sehingga boleh mengganggu kehidupan seharian seseorang. Keadaan ini boleh terjadi kerana pelbagai faktor termasuklah kerana perasaan takut membuat kesalahan sehingga sukar untuk bertindak atau membuat keputusan. Lewah fikir juga berlaku dengan cara seseorang itu membayangkan berkali-kali situasi yang menakutkan atau menyakitkan seperti kemalangan atau melakukan sesuatu yang memalukan, seolah-olah situasi tersebut seperti siri drama atau wayang dalam minda mereka.


Pelewah fikir bukan sahaja cakna tentang apa yang mereka fikir, malah mereka juga banyak menghabiskan masa untuk faham maksud dan punca pemikiran mereka. Dalam keadaan orang lain menghadapi suatu situasi menurut kemampuan masing-masing, pelewah fikir amat sukar mendiamkan monolog dalaman mereka yang datang bertubi-tubi tanpa mengira masa dan keadaan.


Lewah fikir boleh menjadi berguna dalam situasi tertentu seperti apabila seseorang sedang memikirkan sesuatu yang amat penting dan perlu membuat keputusan yang segera dan tuntas. Hal ini jelas terutamanya jika membuat keputusan tentang isu-isu berkaitan pendapatan, keluarga, dan kesihatan.


Walau bagaimanapun, terlalu fokus pada satu pemikiran atau terlalu banyak menganalisis maksud perkara yang difikirkan atau terlalu mencuba untuk mengawal pemikiran tersebut boleh menjurus kepada suatu kitaran pemikiran yang tidak sihat. Kajian-kajian lepas telah menunjukkan bahawa lewah fikir boleh menyebabkan seseorang berasa risau, merenungi masalah dengan mendalam, bimbang, dan juga murung. Hasil kajian turut mendapati bahawa pelewah fikir menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan, sering menyendiri, dan cenderung untuk bertangguh-tangguh lebih daripada kebiasaan. Hal ini seterusnya menjadi batu penghalang untuk kekal produktif.


Risiko mengalami masalah kesihatan mental juga lebih tinggi apabila seseorang itu terlalu kerap berfikir tentang masalah, kesilapan, atau kelemahan diri. Lebih membimbangkan, tatkala kesihatan mental merosot, mereka menjadi lebih kerap merenungi masalah dengan mendalam, sekaligus menyebabkan kitaran pemikiran yang tidak sihat ini lebih sukar ditangani.


Kajian terkini turut mengesahkan hubungan antara lewah fikir dengan tekanan emosi dan kualiti tidur. Untuk meredakan tekanan emosi contohnya, terdapat pelewah fikir yang mengamalkan mekanisme daya tindak negatif seperti makan makanan yang tidak sihat. Orang yang berfikir secara berlebihan juga mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami masalah kualiti tidur. Hal ini disebabkan mereka sentiasa risau dengan hal-hal di luar kawalan mereka secara berlebihan sehingga mengganggu hal lain. Pelewah fikir juga terlalu fokus menganalisis masalah. Namun, mereka lebih memikirkan masalah itu sendiri daripada mencari penyelesaian yang sepatutnya. Akibatnya, mereka memungkinkan hal-hal yang tidak perlu and proses membuat keputusan menjadi semakin sulit dan mengambil masa yang lebih lama.


Strategi untuk menangani lewah fikir

Secara umumnya, terdapat empat strategi yang boleh diambil untuk mengatasi masalah lewah fikir ini.


1. Kenal pasti tanda-tanda lewah fikir

Strategi pertama ialah kenal pasti jika anda sedang mula melakukan lewah fikir. Langkah ini nampak ringkas namun sangat penting. Hal ini kerana ramai orang selalunya tidak memberi perhatian dengan cara diri mereka berfikir. Apabila anda sudah mula kenal pasti bila anda mula berfikir secara berlebihan, setidak-tidaknya anda sudah bersedia untuk mengambil strategi-strategi lain yang seterusnya.


2. Fokus kepada penyelesaian

Strategi berikutnya ialah menumpukan kepada penyelesaian masalah secara aktif. Apabila berdepan suatu masalah baharu, tanya diri anda apa yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Elakkan merenung pemikiran negatif seperti mempersoalkan mengapa masalah tersebut berlaku atau terlalu fokus kepada masalah yang bukan dalam kawalan. Dengan memfokuskan diri mencari penyelesaian terhadap masalah dalam kawalan, anda dapat menghindarkan diri daripada membuang masa di samping mengelak daripada dipengaruhi kitaran fikiran yang berlebihan.


3. Luangkan masa untuk membuat penilaian diri

Antara strategi yang mendapat perhatian ialah memperuntukkan masa dan ruang khas untuk berfikir. Sediakan satu tempoh yang tetap (contohnya, 30 minit) dalam rutin harian anda untuk merenung dengan mendalam serta memikirkan sesuatu masalah sepuas mana yang dimahukan. Apabila tempoh ini tamat, segera alihkan perhatian anda dengan melakukan pekerjaan lain. Apabila anda terasa fikiran mula menerawang jauh atau berlebih-lebih di luar tempoh masa khas tersebut, segera ingatkan diri anda bahawa anda boleh fikirkan masalah tersebut pada masa khas yang ditetapkan. Strategi ini dilihat dapat membantu seseorang meningkatkan produktiviti yang kerap terhalang disebabkan lewah fikir yang datang tanpa mengira masa.


4. Alihkan perhatian dengan melakukan aktiviti lain

Sibukkan diri dengan melakukan aktiviti lain yang lebih menarik perhatian anda. Aktiviti-aktiviti seperti bersenam, membaca buku bukan fiksyen atau novel, menonton filem, bermain permainan komputer, meronda kawasan menggunakan motosikal, melukis, mengait, dan sebagainya boleh dilakukan. Dengan melibatkan diri dengan aktiviti yang berbeza, minda anda akan teralih daripada mengingati sebarang masalah yang mampu mendorong kepada pemikiran yang tidak sihat.


Akhirulkalam, lewah fikir merupakan perkara yang wajar diberi perhatian kerana kesannya cukup signifikan dalam kehidupan seharian seseorang. Dalam Islam, konsep khusyuk dalam ibadah solat dapat melatih diri untuk fokus tanpa memikirkan segala macam masalah di luar ruang lingkup solat. Konsep redha dan tawakkal juga mampu membantu seseorang lebih menghargai setiap perkara yang diusahakan dengan menyerahkan hasil yang terbaik kepada Yang Maha Adil dan Maha Bijaksana tanpa perlu terlalu risau akan apa yang berlaku pada masa hadapan.


Tidak dapat dinafikan bahawa usaha mengatasi lewah fikir memerlukan latihan yang jitu dan tekal. Namun, akhirannya akan terhasil jiwa baharu yang lebih tenang dan produktif. Hakikatnya, mengurangkan risiko kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama dan proses ini perlu bermula dengan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu.


Istilah psikologi:


Lewah fikir = overthinking

Pelewah fikir = overthinker

Merenungi masalah dengan mendalam = ruminate



Rujukan:


Clark, D. A. (2020, January 18). Are you an overthinker? Psychology Today. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/the-runaway-mind/202001/are-you-overthinker


Gordon, K. (2019, May 5). 9 strategies for overcoming overthinking. Psychology Today. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/out-the-ivory-tower/201905/9-strategies-overcoming-overthinking


Michl, L. C., McLaughlin, K. A., Shepherd, K., & Nolen-Hoeksema, S. (2013). Rumination as a mechanism linking stressful life events to symptoms of depression and anxiety: longitudinal evidence in early adolescents and adults. National Library of Medicine, 122(2), 339-52. https://doi.org/10.1037/a0031994


Morin, A. (2017, May 16). 3 ways overthinking hurts more than it helps. Psychology Today. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/what-mentally-strong-people-dont-do/201705/3-ways-overthinking-hurts-more-it-helps


Morin, A. (2016, February 12). 6 tips to stop overthinking. Psychology Today. https://www.psychologytoday.com/intl/blog/what-mentally-strong-people-dont-do/201602/6-tips-stop-overthinking



===================================================================


Tentang penulis:


Muhammad Shakir Iman Wajdi bin Noor Hashim merupakan pelajar tahun tiga jurusan Psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Rencana ini dihasilkan ketika penulis sedang menjalani latihan industri di Psychology Services Unit (PSU) pada Semester 3, sesi 2020/2021.


Disemak dan disunting oleh: Dr Nor Diana Mohd Mahudin






Note: This article gives the views of the Author, and not the position of the Department of Psychology IIUM Blog, nor of the Department of Psychology IIUM.

206 views0 comments

Comments


bottom of page